4.17 petang. Satu dua tiga empat lima enam tujuh lapan sembilan sepuluh sebelas dua belas tiga belas empat belas lima belas…
Masa mengensot begitu perlahan. Aku menggenyeh mata yang sedikit bengkak akibat tidur yang lama. Jam di dinding seakan berhenti berputar. Malah bumi juga seolah-olah pegun di atas paksinya.
“Tapai! Jom ikut aku!!” Jerit Afro dari ruang tamu.
Aku bangkit dan membuka pintu bilik. Aku lihat Afro sibuk membetulkan ‘sarang tebuan’ di atas kepalanya. Aku seperti mahu ketawa tapi lapar-lapar begini aku rasa lebih elok jika aku tak bazirkan tenaga untuk itu semua.
“Ke mana?! Nak buka awal lagi!”
“Ikut sajalah!!”
Maka menderulah SLK membelah taman-taman perumahan di bandar X. Sampai di sebuah taman permainan yang sesak dengan kanak-kanak, Afro memberhentikan keretanya.
“Sini? Ada apa?!”
Afro tidak mahu menjawab. Dia keluar dari keretanya dan menuju ke papan gelungsur di situ. Kanak-kanak yang sibuk bermain di situ terus berlari ke tepi. Ada yang menyorok di belakang ibunya. Mungkin gerun melihat rambut Afro yang begitu besar.
Tanpa banyak bicara Afro memanjat naik dan seketika kemudian menggelungsur turun. Berulang kali naik dan turun hinggakan ada ibu-ibu yang menjegilkan mata dan menjuihkan bibir.
Gila! Tapi kulihat Afro tidak sedikit pun peduli.
Di satu sudut, aku lihat ada dua kanak-kanak menguis tanah. Seorang daripadanya mengangkat sesuatu. Sebentar kemudian, mereka saling tolak menolak. Berebutkan sesuatu. Seakan mahu berkelahi. Aku bergegas menghampiri mereka.
“Belon ni aku punya!”
“Bukan! Aku yang jumpa dulu, akulah punya!”
Benda di tangan mereka itulah yang jadi puncanya.
“Bagi abang belon tu!”
Mereka tersentak. Dengan terketar-ketar menghulurkan belon yang mereka rebutkan kepadaku.
Sebelum menyambut, aku amati belon itu. Aku lihat ada cecair likat yang masih tersisa di dalam belon itu. Celaka! Ini BUKAN belon!!
“Buang!” Jerit aku, “Buang cepat!!”
Entah bangsat dan sundal manalah yang sanggup melampiaskan nafsu tanpa mengira tempat. Sudahlah tidak tahu malu, ‘bahan bukti’ pun ditinggalkan bersepah-sepah.
“Kenapa?!” tanya Afro yang tiba-tiba muncul di sebelah.
Aku menunding ke arah belon yang bukan belon itu. Terbeliak mata Afro!