Iklan raya di kaca tv, tidak satu pun pernah menyentuh hati saya. Tidak ada nilai sentimental. Saya tidak boleh me-relate dengan masa kecil dan remaja saya. Perhentian terpisah dengan semenanjung emas, ya, jadi ia berbeza. Semua tahu, Dr M juga tahu.
Setiap kali tibanya raya, rakyat disarankan untuk bersederhana dalam berbelanja dan menyambut raya, kata suara kerajaan di kaca tv. Perhentian mungkin contoh terbaik dalam hal ini dari satu sudut. Dan dari sudut tepat lain nya, orang Perhentian tidak ada banyak duit.
Rumah-rumah kayu yang tempang dihias sedehana. Langsir tahun-tahun sudah mula dipasang. Setahun jendela itu telanjang. Karpet lama tuk kaduk mula dihampar. Kayu di umbin masih lagi jarang dan berlubang. Keliling rumah kosong tak berhias. Tapi masih anggun dengan cara ia sendiri. Dari mata orang yang tak banyak duit.
Esok khabarnya nak raya, petang Ramadan terakhir anak anak muda mula menolak kereta sorong berisi pasir pantai. Melonggok atas kuburan kaum kerabat masing-masing. Ritual ini berlaku saban tahun. Rumput-rumput digentas, dahan Kemboja dipotong dan juga Kemunting Cina dibuang habis. Ada yang tersalah kubur, menimbus atas kuburan orang lain, mencuri pasir di kuburan sebelah seceduk dua. Anak-anak kecil membawa tin susu kecil untuk ditekup atas lumut karpet dan bermain jual beli burger atas kuburan. Harmoni sekali.
Sederhananya kami, raya cuma disambut setengah hari. Kendian ia hilang. Jadi macam hari biasa, telanjang dan kosong.
Aktiviti menziarahi jiran sangat sederhana. Jarak antara rumah adalah kurang dari tiga meter, setengah kampung adalah jiran tetangga. Jadi jika dibelah ia menjadi tiga kampung, Hujung Pasir (termasuk Atas Gong), Kampung Tengah, dan Hujung Batu. Aktiviti kunjung mengunjung boleh habis dalam separuh masa pertama bola sepak. Lima belas minit untuk balik ke rumah dan separuh masa kedua dihabiskan di rumah dengan menonton cerita sedap.
Dan…
Bersambung..