Sebuah pantai yang anggun, Pasir Panjang masih memilikinya. Rupa dan ragam disini meski saban tahun bertukar, keanggunannya tetap terserlah — ini salah satu kelebihannya berbanding dengan pantai lain.
Saya sendiri. Berdiri di tengah-tengah pantai sambil berusaha memandang pantai ini dari kacamata seorang pengunjung, bukan sebagai anak watan. Perkara sedemikian sebenarnya amat sukar lalu tenang saya memesan segelas mango smoothie.
Seorang brader, dan beberapa tongkol benang pelbagai warna sedang ralit menyulam gelang. Saya berdiri tidak jauh dari brader itu. Di pinggang nya itu ada dililit semacam tali, di bahagian pusat pula diikat satu lagi tali untuk menyulam benang. Beliau seketika mengukur, memasukkan manik, menyulam lagi dan akhirnya siap satu gelang. Pelancong ramai lalu lalang, ada yang singgah ada yang sekadar menjeling. Jika ada yang singgah beliau akan melepaskan ikatan di pinggang dan memberi layanan sempurna.
“ Yang ini tiga hari untuk siapkan, yang ini pula empat hari. Ni paling lama, seminggu. Empat ke enam jam sehari menyulam.”
Pelanggan itu membelek-belek, bertanya harga.
“Harga ada di tag setiap satu tu, berserta jenis batu yang saya ikat.”
Pelanggan nampak macam berpuas hati, membelek tanda harga dan meletakkan kembali.
Tanpa diminta penjelasan, “harga tu sebenarnya berdasarkan tahap kepayahan untuk setiap satu piece tu. Saya buat tanpa sketch dan takkan ada sama antara satu sama lain.”
“Itu adalah harga untuk sebuah seni dan orang yang menghargai seni.”
Demmit. Saya seketika sedar yanf sebelah saya sebenarnya seorang wali. Wali seni!
Macramé. Saya baru dengar perkataan ini. Itu pun setelah brader tu memberi penjelasan kepada saya. Ia sejenis ikatan yang menggunakan tangan seratus peratus tanpa jarum dan gam. Benang yang dia gunakan adalah jenis tali lilin, kalau kena pada air tidak ada masalah. Ikatan dan teknik ini berasal dari tanah Amerika Latin (ed: brader tu tak berapa pasti tapi ini yang dirakam, jadi mesti ditulis juga). Di Malaysia masih tak ramai yang memilih jalan seni begini.
Dewasa saya, masih lagi saya berfikir tentang rezeki dari seni begini — memandangkan ia seni minoriti, dan pada sebenarnya hampir menolak. Brader ini berkerja penuh dengan menyulam Macramé, untuk menyara keluarga (seorang isteri dan empat orang anak). Masih lagi berfikir, dengan seni, boleh ke seseorang bertahan hidup?
Langit sudah semakin gelap, waktu Maghrib tiba. Brader itu membuka lilitan di pinggangnya dan bergegas untuk mandi dan solat. Saya diminta menjaga mejanya sekejap.
Sela waktu itu, saya membelek-belek hasil tangannya. Banyak gelang dan rantai diikat dengan pelbagai jenis batu-batuan, benar, setiap satunya adalah berlainan dan mempunyai keunikan tersendiri. Brader itu datang dan saya pula pergi mandi dan bersolat di bilik yang tak berapa jauh dari situ.
Kalau ilhamnya dari pantai, kenapa tak guna batu karang atau siput yang mati? Itu lagi tinggi nilai komersial. Bukan ke sememangnya kedai ni dibuka di pantai, dan tampak kena digayakan di tepi pantai.
Persoalan itu keluar, dari saya, itupun setelah ada seorang anak Sepanyol datang menunjukkan gelang Macramé yang disulam ibunya. Gelang yang ringkas dan ada ditatahkan seketul siput mati berwarna kuning. Ibunya tiba selepas itu dan bercakap-cakap soal minat mereka dengan brader itu.
“Sini tempat aku cari rezeki, tak tergamak aku nak ambil hasil dari sini, walaupun seketul batu karang mati dan jual. Tak tergamak.”
Saya mengangguk. Dan ia membenarkan tanggapan saya bahawa dia seorang wali.
Jam melepasi pukul 9 malam. Saya masih disitu. Merakam momen sambil menaip nota minda. Pelancong Kanada, dua orang sedang berdiri. Brader ini menggunakan skrip yang sama, tentang masa yang dihabiskan untuk satu-satu pieces, kesulitan mengikat batu, dan jenis batu yang digunakan.
Sebenarnya yang paling menggembirakan hatinya bukanlah semata-mata hasil jualan. Dia akan tersenyum puas jika ada yang singgah dan menghargai hasil seni ikatannya, dan seni itu sendiri. Dia tak lekang mengucapkan terima kasih untuk mereka yang menghargai nilai seni itu. Katarsis.
“Everyday I learn new things, and get better and better.”
“Yah, peoples do, peoples always do. Me too.”
Fakinghell! Falsafah ni, kata saya dalam hati sambil mancatit nota minda
- 1
- 2