Sejak hujan kelmarin, air laut bertukar hijau kelumutan. Sampah dan plastik di birai pantai, penuh dan asing, sangat tidak nyaman. Orang kesana kemari dalam sibuk. Pantai kian pendek. Saat itu, saya mulai sedar Perhentian sudah berhenti memberi erti.

Seorang brader divemaster duduk di hadapan saya. Kami beraya, bertanya khabar dan bercerita tentang tempat ini. Tempat kami. Katanya batu karang di hujung Tanjung Batu Nesan Da nirat sudah habis mati. Patutnya tempat itu terjaga dek kerana di situlah tempat divers yang datang mula bertatih semasa course open water. Kamu bayangkan pandangan demikian yang Perhentian berikan untuk kali pertama pengalaman menyelam. Ya, sedih.

Perhentian cuma ada laut dan pantai saja. Kalau ini tak dijaga. Apa lagi yang ada?

Beliau seketika menambah, sebagai seorang yang sudah menyelam di banyak tempat sekitar Thailand dan Indonesia, katanya, Perhentian sudah tak seperti dulu. Karang-karangan di banyak tempat sudah rosak. Dia cerita tentang kawanan ikan bak puting beliung dan pasukan tentera yang menjaga kawasan batu karang dan laut cetek agar tak dicerobohi oleh mana mana pihak. Begitu orang luar berusaha menjaga kawasan marin.

Orang ramai memenuhi pantai. Jalannya laju-laju. Ralat sangat untuk tempat sedamai ini. Limpahan orang sekarang sudah sekian lama merunsingkan saya. Sekadar itu. Banyak bangunan, banyak orang, banyak wang dan banyak kerosakan. Saya sentiasa pesimis dengan kemajuan yang pesat ini.

Dia meminta diri dan menghadiahkan saya satu rantai tempurung dari laut berbentuk Perhentian Kecil. Brader itu siap menggulung rokok bertembakau amber leaf untuknya dan satu untuk saya. Sedutan asap pertama, saya telah sedar Perhentian sudah mulai berhenti memberi erti.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *