Suatu hari kereta saya tiba di sebuah rumah, di satu tempat di Kuala Besut. Ada seorang orang tua lelaki yang perlu saya temui. Saya mendapat tahu melalui anaknya,seorang wakil rakyat di Kuala Besut. Perasaan saya bercampur baur ketika itu, entah apa kiranya bakal kami perbualkan untuk pertama kali ini. Sudah banyak hal yang saya dengar tentangnya. Seorang yang arif dalam ilmu agama dan kedatangan saya kali ini untuk mendengar kisah Perhentian masa dulu-dulu.
Adapun semangat saya berkobar kobar, menulis dan menyampaikan cerita rakyat dan sejarah, kadang-kadang saya berasa janggal. Sendiri saya, bila sampai soal sejarah tempat usang ini, rata-rata orang yang saya jumpa dan bersoal akan menjeling dengan pandangan floride, beracun dan mematikan. Antara dua sebenarnya, tentu saya mahu jadi bomoh atau gila isim, mungkin.
Seolah kerja menulis dan menyebarkan sejarah ini dari terus mati adalah kerja sia sia. Mereka lebih senang kiranya pengetahuan ini mati bersama-sama jasad mereka dan generasi selepasnya terkongtang kanting mereka-reka cerita.
Seorang lelaki tua keluar, di hadapan kami ada satu jag air teh o dan roti kosong. Dia tersenyum gagah, dahinya sudah kedut seribu. Terlalu banyak cerita dari kedut itu dan saya sedia mendengarnya. Matanya redup memandang saya.

“Siapa Batin Mina,dari mana tibanya dia?” Soal saya, dia tersenyum dan mengangguk.
“Apa itu pulau Yasin? Siapa Panglima Abu? Kenapa ada tempat dipanggil Tanjung Sireh? Pasir Petani tu tempat orang bertani ke? Air Berani bila minum jadi berani ke?” Saya soal bertalu-talu. Segala ini perlu, perlu seperti jasad dan nafas.
Beliau seorang penulis rakyat, membela masyarakat nelayan di Kuala Besut. Ada gambar lama Perhentian dalam simpananya dan sebuah sajak ditulis pada Mei 1993. Itu juga sebuah sebab kenapa saya datang menemuinya hari itu.


Soalan yang saya ajukan terbiar lama, hilang bersama wap teh panas. Biarpun sebenarnya tak bakal terjawab kerana pertemuan ini tak pernah belaku dan tak akan berlaku.
Terlalu banyak kesibukan saya, dan masa tenang saya dihalangi pula dengan tahap kesihatan beliau yang tidak menentu. Al fatihah untuk Allahyarham Ustaz Haji Che Ku Abd Rahman bin Abdullah.