Pagi itu. Ketika aku mula terjaga, aku melihat dunia ini begitu asing. Permandangannya seperti ketika aku melihat melalui mata seorang kanak-kanak di sebuah jalan panjang, atau pantai panjang di atas sebuah pelampung besar yang hanyut di samudera.

Dalam usia masih muda, aku selalu curiga tentang dunia. Sehari-hari aku melihat keterasingan ini pada diri sendiri atau orang sekeliling (di atas pelampung besar yang hanyut). Matahari sangat dekat ketika ia mula-mula terbit dari belakang bukit seberang. Aku percaya bahawa aku berada di penghujung dunia yang datar, dunia curiga aku.

Kalau itu pengenalan untuk sebuah novel. Amcam?Ke macam gampang?


Sejak dari tragedi Hari Raya kedua itu saya tidak dibenarkan mandi laut. Tahun itu tahun 1996, dan saya berumur 4 tahun.

Ini bermaksud saya akan ketinggalan dalam scene lompat mandi laut terus dari atas jeti dan menyelam sambil buat buih ikan dolphin. Setelah membuat kiraan kasar, saya sebenarnya ketinggalan tiga tahun di belakang yang lain.

Saya kononnya dilihat terbaring di gigi air dan ombak terus menerus memukul saya. Mereka berlari mendapatkan saya yang terbaring dan saya sebenarnya sedang rileks menikmati alam. Mustahil untuk lemas kerana ketika itu air cuma setinggi buku lali. Semua panik yang mana lima minit lepas sedang bersuka ria membuka juadah raya dan membakar ikan di Pantai Air Berani, salah satu pantai di Perhentian Besar.

Sekurangnya itulah yang saya ingat tentang perkenalan mula-mula saya dengan laut dan dalam satu hari ia lenyap begitu saja. Tragedi itu meragut masa kecil dan merencatkan pembangunan awal kanak-kanak pulau. Dan roda-roda kehidupan berputar ligat dan seterusnya berhenti. Saya duduk di tepi pantai, berhenti dan tertanya-tanya sendiri kemana masa dan kehidupan saya hilang.

Saya terlupa di Perhentian tiada roda, yang ada cuma kipas bot.

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *