Tapai masih mamai. Menggosok-gosok mata yang terkesip-kesip. Disusuli satu kuapan panjang. Dia kemudiannya membulatkan mata ke susuk tubuh di tengah rumah. Bukan gadis berbaju sendat berskrit putih tadi. Sendat! Putih! Ah! Asyik! Tapai tersenyum sendiri sambil mengepit kelangkang yang masih terasa lembab.
“Nah!” aku mencampakkan satu bungkusan plastik berwarna merah. Tapai capai kemudian mengeluarkan isinya ke atas pinggan.
“Maggie goreng?” Tapai mengeluh, menggelengkan kepala.
“Bukan kau dulu suka makan maggie goreng?”
“Dulu bila? Kan aku dah cakap, aku tak kenal kau!”
Pap!
“Oh.. aku lupa. Maaf.” aku menghadiahkan sengihan pada Tapai yang duduk bersila di tepi meja jepun. Satu-satunya perabot di ruang tersebut.
“Air minum tak ada?” Tapai menghembus nafas kuat.
“Tak ada.” Malas mahu berbahasa-basi.
Aku menguis-nguis buku yang bersepah di atas lantai. Albert Camus, Arenawati, James Joyce, antara penulis-penulis mahsyur abad ini. Yang aku cari tiada di situ. Aku tolak kesemua buku tersebut ke tepi dinding. Biarkan di situ dululah! Aku bersandar pada dinding, di tepi buku-buku karya agung.
“Kau nampak Neko aku?”
“Neko? Err….” Alamak! Dia tahukah Neko ada ke mari? Dia tahukah aku dan Neko sebentar tadi…
Mampus!
Tapai terbayangkan gadis berbaju sendat dengan skirt putih pendeknya. Masih terasa panas dada gadis itu di mukanya. Oh Neko!
Celaka!
“Er…. tadi dia ada datang sekejap. Tapi kau tak ada, dia baliklah…” Tapai menjawab sedikit terketar-ketar. Suara orang bersalah.
“Balik? Balik mana pulak? Kucing aku tu nak balik mana lagi?”
“Kucing? Neko tu kucing?”
“Ya! Kucing aku, nama dia Neko!”