Perhentian adalah kehidupan. Saya selalu fikir begitu. Dan seperti kebanyakan manusia, saya fikir ia sebagai sebuah tempat melupakan kesedihan, melepaskan masalah. Begitu lama hidup disini, ia tidak sebenarnya tidak tepat. Kesedihan dan kebahagian datang dalam satu masa, bercampur baur. Itu yang saya benci tentang Perhentian.
Saya buka mata dan saya sudah berada di Pantai Pasir Panjang. Di atas meja ada segelas nescafe panas. Waktu masih sangat pagi dan angin laut mati. Saya termenung memandang jauh pulau seberang, tajamnya persis seorang cendekiawan. Dari sudut tepi, terlihat seperti Orhan Pamuk.
Beberapa orang lalu lalang sambil menggalas tangki udara SCUBA. Mereka kelihatan kekok dan sangat menunjuk-nunjuk. Padahal baru belajar menyelam. Itu kalau tidak di kawasan jeti mesti kat Batu Nesan. Tempat di mana batu-batu bujur yang dijadikan nesan oleh masyarakat Perhentian zaman berzaman. Sesetengahnya, belum mati sudah ada batu nesan.
Saya menghirup perlahan nescafe yang sudah sedikit sejuk sambil memejam mata. Harapnya ia terlihat seperti Orhan Pamuk.
…
“Perempuan fikir mereka rumit, dan mereka pun buat-buat perkara biasa jadi rumit. Padahal kalau rileks boleh saja. Itu yang rumit.” kata saya.
Di hadapan saya seorang perempuan berwajah teduh. Seperti pohon selepas hujan. Sejuk. Dia senyum panjang. Samada setuju, atau menyindir atau sengaja menambah rumit saya.
Sepuluh minit lepas dia adalah seorang stranger. Duduk di bawah pokok ketapang menumpang teduh. Memakai bikini kelabu yang dibaluti dengan kain pareo diikat rapi. Takdirnya, dia lalu di hadapan saya dan menjadi kawan saya secara automatik.
Penyelam-penyelam novice tadi berjalan pulang. Mereka masih kelihatan kekok tapi tidak menunjuk-nunjuk lagi. Barangkali sudah keletihan atau kecewa kerana cuma melihat ikan biasa. Mungkin juga insaf melihat batu nesan.
…
“Awak tinggal disini? Bagaimana dengan musim monsun? Saya nak tahu tentang tu.” kata Melisa (saya cuma andaikan namanya Melisa). Nama itu tampak sesuai dengannya yang berbikini kelabu yang sangat tak sesuai untuk iklim nusantara. Nasib baik saya okay saja.
Saya membetulkan tempat duduk. Dan meneguk nescafe sejuk.
…