Tapai! Sudahlah,” aku mengajak Tapai keluar dari kawasan bazaar Ramadhan. Tapai mengangguk-angguk. Matanya bulat. Mungkin sudah puas dicuci.

“Nanti penuh pulak Rivadesatera tu,” aku menyisipkan alasan. Walhal sebenarnya aku sesak dengan pemandangan di bazaar tersebut.

“Allahu-Akbar…” kedengaran azan berkumandang dari corong radio Rivadesatera. Meredah lautan manusia di bazaar melewatkan kami. Kami terkocoh-kocoh ke meja yang telah ditempah sedari awal. Sudah tersedia teh tarik dan kopi di atasnya.

“Bacalah doa buka,” aku memandang Tapai. “Bismillah…” Tapai hanya tersengih-sengih sambil menadah tangan. Lubang hidungnya membulat apabila sengihannya semakin melebar. Aku menyelesaikan doa dan terus menghirup kapucinong. Ah! Nikmatnya berbuka. Aku bersandar dan memandang langit. Tiba-tiba aku terasa angin lembut lalu di sisi meja kami dan sekilas haruman wangi menyusuli. Aku dan Tapai sama-sama memandang ke sebelah kiri. Seorang gadis berpakaian seksi berjalan melepasi meja. Kepalanya diangkat bangga, seakan sedar orang-orang di Rivadesatera sedang memerhatikannya. “Oh budak ni,” aku tersengih sumbing.

Tapai menyambung mengunyah kuih koci yang dibeli tadi. Matanya masih terpaku pada punggung gadis seksi yang baru hendak dihenyakkan ke kerusi. Dia duduk selang beberapa baris dari meja kami. Meja itu sudah dipenuhi rakan-rakannya.

*ZRRAPPP*

“Lah! Mana si Afro pergi? Takkan cabut?”

“Siapa nak bayar air nih?” kedengaran Tapai mengomel sendirian mengalihkan pandangan dari gadis tadi.

*ZRRAPP!!*

Aku berdehem menolak kahak di dalam kerongkong. “Eh! Kau pergi mana tadi Afro?” Tapai mengerutkan dahi, kehairanan dengan kehilangan dan kemunculan aku dengan secara tiba-tiba.

Ekor mata aku mengerling ke arah gadis tadi yang kini riuh rendah di mejanya. Tapi butir percakapannya kurang jelas kedengaran. Dadanya yang gebu dan subur itu disapunya bersungguh-sungguh. Manakala rakan-rakannya pula kecoh-kecoh memandang sekeliling membulatkan mata.

Kapucinong yang semakin sejuk di meja aku hirup dengan perasaan berbunga-bunga di hati.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *