Pasir Petani begitu istimewa. Pantai ini menjadi permandangan yang pertama muncul setelah merentasi lautan yang melelahkan itu. Walaupun perjalanannya cuma sekejap tetapi pandangan ini seumpama kita tiba pada sebuah kehidupan yang baru, atau paling tidak ia perasaan yang sama ketika kita berpapasan dengan seorang wanita sambil melihat matanya tetap dan hati kecil berkata, “hai, mata awak cantik,” dan dia pun melirik sama seolah berkata “terima kasih, tapi kita takkan berjumpa lagi, selamat tinggal.” Kendian dia hilang.
Pemandu mula memperlahankan bot. Pantai yang terlindung dari kejauhan mula nampak rupa. Ada beberapa buah bot kecil yang berselisih dengan kami dan antara pemandu mengangkat tangan tanda hormat. Saya teruja. Tapi bukanlah kerana pantai-pantai yang diselangi batu-batuan ini, tapi perempuan di sebelah saya ini sedangan membetulkan baju dan seluar ketatnya setelah reda ditiup angin. Permandangan di balik kaca mata hitam saya kira sebagai sebuah kehidupan juga.
…
Saya tetap kuat untuk tidak menjadi seorang nostalgis. Untuk tidak menguak masa kecil saya dan coretkan ia sebuah cerita, tidak sudah sudah dengan masa lalu.
Tapi… warna awan itu, bau asin laut, pokok rendang di tepi pantai itu seolah tidak berubah, seolah Perhentian tidak pernah dimakan usia. Seolah saya masih lagi anak kecil dan manja.
Dan seolah-olah saya sedang duduk di bahagian hadapan bot kecil. Ayah saya pula duduk di tempat pemandu bot berkuasa dua kuda. Kelajuannya cuma dua ekor kuda. Pada bahagian enjin tertera lambang arnab dan kura-kura. Ayah selalu melaraskan habis ke kuasa arnab, dan fikir saya kelajuan ini mungkin sama kalau saya naik ke belakang arnab.
Setiap pagi Jumaat dan Sabtu, ayah membawa saya ke Pantai Pasir Petani. Pantai ini sebenarnya milik Datuk Marina. Tapi ia seolah milik saya, milik ayah dan seorang lagi kawannya.
…
Bot mula menghampiri jeti. Perempuan berbaju singkat dan berseluar legging ketat itu bangun. Menutup pandangan dan nostalgia masa kecil saya. Pandangan ini buat saya gelisah dan seketika tersenyum kerana saya sedar yang saya sebenarnya sudah dewasa.