Sebuah bot kayu menghampiri jeti. Bunyi enjin bot langsung tidak kedengaran. Ia bergerak dengan bantuan angin, sebuah layar besar dipasang menggunakan perca kain pelbagai warna. Semua kehairanan. Di jeti semua mata terpinga-pinga kerana melihat orang yang sebenarnya sudah dianggap mati. Sembilan bulan hanyut di laut lepas. Seorang pemuda berdiri, wajahnya dipenuhi jambang liar dan tidak terurus. Tapi badannya masih lagi kekar di sebalik baju lusuh. Saya berusia 12 tahun ketika itu.

Saya turun ke jeti. Orang kampung lain juga. Saya cuba meneliti secara tajam wajah di sebalik jambang liar dan tak terurus itu. Seketika teralih kepada Cikgu Yasmin. Cikgu Yasmin ini sebenarnya bukan cikgu saya walaupun penuh pengharapan agar dapat belajar Sains dengannya. Wajah nya persis Fasha Sandha. Seketika, lelaki hanyut itu naik ke jeti.

Lah, Rosyam Nor!

Melisa masih ada di sebelah saya. Pertanyaannya tentang musim monsun di Perhentian masih belum saya jawab. Dia sedia tahu monsun datang di akhir musim bunga Perhentian dan saya akan ceritakannya di akhir pertemuan kami. Itulah salah satu cabang seni bercakap dengan perempuan, Melisa mungkin tak sedar tentang itu.

Kain pareonya sedikit terselak dan menampakkan pahanya yang halus bak pasir.

“Pantai tu dah tak wujud sekarang,” kata saya sambil membetulan tempat duduk. Melisa seketika membetulkan kain pareo untuk menutup kembali pahanya seperti ombak yang menutupi pantai. Dan saya lebih gemar agar ombak itu kembali ke laut dan ingin pasir itu muncul semula.

Pantai itu cuma sebuah ruang kecil. Tak ramai yang berpeluang berada di situ. Bila air pasang, pantai itu akan tenggelam sepenuhnya. Musim bunga tamat-panas-luruh-dingin dan musim depannya belum tentu pantai itu wujud. Begitu terisolasi dan eksotik.

Melisa mahu sangat pergi. Istimewa katanya. Saya menggeleng tegas. Pantai tak terpeta ini berada di teluk tepi jeti kincir angin. Tak juga bernama (setakat pengetahuan saya).

Bila monsun tiba pasir di pantai itu di tarik ombak masuk ke dalam gua berdekatan. Secara semulajadi, menjelang musim bunga baru ia akan dihamparkan semula tapi kuantiti pasirnya makin sedikit dan pantai itu tak muncul. Kesian Melisa. Kesian juga saya, terlepas peluang.

..

Selepas kembali dari laut, Indra berkenalan dengam Cikgu Yasmin. Di atas sebuah bukit berdekatan pantai kecil dekat kincir angin, adik Indra bermain-main disitu. Tempat itulah mereka selalu berjumpa. Di bawah sebatang pokok palsu yang dibawa khas untuk babak ini. Pokok Kuala Lumpur. Babak lainnya Cikgu Yasmin berdialog dengan sekumpulan tabligh disitu. Selebihnya adalah sejarah dan hilang di kaki langit.

..

“Apa nama tempat tu?” tanya Melisa.

Pantai Fasha Sandha.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *